Saturday 19 March 2011

Bencinya aku............

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya berkata penggunaan kitab Injil versi Bahasa Malaysia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sambil mahu semua pihak membuang ideologi politik dan bercakap dari sudut Islam.
“Kita buang semua ideologi politik dan bercakap dari sudut Islam. Bahasa tidak melambangkan sepenuhnya pegangan agama seseorang, malah Nabi Muhammad juga tak halang bangsa lain menggunakan bahasa Arab.
“Saya lihat dalam Perlembagaan Persekutuan orang Melayu adalah orang yang beragama Islam dan definisinya juga jelas orang Melayu adalah orang yang boleh berbahasa Melayu.
“Jadi dalam isu ini setelah perbincangan dan pertimbangan terjemahan, ia boleh sebab ia tidak menjejaskan kemuliaan agama Islam,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan pengedaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia itu harus dikawal dan tidak disebarkan secara meluas.
“Ia perlu terkawal dan tidak disebarkan secara meluas, sebar hanya untuk orang Kristian sahaja ... jadi bagi saya tiada masalah jika ia terkawal.
“Tapi jika tidak terkawal ia boleh mendatangkan masalah, jadi saya minta ia dibuat secara baik, terkawal dan diedarkan hanya kepada penganut Kristian sahaja,” katanya.
Laporan The Malaysian Insider juga menyebut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyifatkan langkah kerajaan melepaskan kitab Injil yang dirampas itu adalah satu tindakan bijak dan tidak wajar dihalang penerbitan itu.
Menurut Yang Dipertua PUM Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir, pihaknya tiada halangan dengan keputusan terbaru kerajaan ini kerana Bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia termasuk yang beragama Kristian.
Dalam laporan terdahulu hari ini, kedua-dua Dewan Ulama PAS dan PKR berkata mereka juga tidak membantah atau menghalang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sambil menyifatkan ia tidak menjejaskan kedudukan agama Islam di negara ini.
Ketuanya Datuk Harun Taib berkata penganut Kristian tidak sewajar dihalang untuk menggunakan Al Kitab memandang Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara, milik semua rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Muhammad Nur Manuty berkata, penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia tidak akan memesongkan akidah orang Islam.
Selasa lalu, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan 35,000 naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang ekoran gesaan pelbagai pihak mendesak kerajaan berbuat demikian.
Keputusan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.
Bagaimanapun dalam laporan pagi tadi juga, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran keputusan Putrajaya untuk melepaskan naskhah kitab Injil yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching akan membawa kepada rasa tidak puas hati dan kemarahan orang umat Islam.
Ketika dihubungi, Harussani berkata beliau bimbang umat Islam akan bangkit menentang keputusan itu dan menyebabkan lebih banyak ketegangan dalam situasi semasa yang dilihat sangat sensitif.
“Saya takut, apa pun boleh berlaku di sini. Orang tidak gembira dan apa jua boleh berlaku,” kata beliau lagi.
Harussani berkata beliau telah berusaha untuk berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak mendengar keputusan itu Selasa lalu bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memenuhi gesaan pemimpin-pemimpin Kristian dan beberapa parti politik agar melepaskan Al Kitab, dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Tetapi, saya tidak dapat bercakap dengan beliau (Najib) dan pembantu beliau juga tidak dapat menawarkan saya dengan sebarang maklumat,” katanya lagi.